Search

KISAH DUA BERADIK WARGA EMAS HIDUP DALAM RUMAH USA...

  • Share this:

KISAH DUA BERADIK WARGA EMAS HIDUP DALAM RUMAH USANG TERIMA BANTUAN DARI SULTAN JOHOR

Dua beradik yang hidup serba kekurangan serta menetap dalam keadaan rumah yang uzur menarik nafas lega apabila menerima bantuan dari DYMM Sultan Johor.

Baginda Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan bantuan membina semula kediaman bagi dua beradik iaitu Tan Lai Ho, 65, dan abangnya Tan Lai Siang, 67 di Kampung Perigi Acheh, Masai.

Rumah papan yang dihuni mereka sejak lahir hampir roboh dimakan anai-anai, dan keadaan lebih menyedihkan apabila dibasahi air sewaktu hujan disebabkan atap berlubang.

Tan Lai Ho berkata, abangnya menghidap penyakit glaukoma yang kritikal sehingga kedua-dua matanya kabur dan tidak mempunyai keupayaan untuk bekerja mencari rezeki.

“Saya bekerja sebagai pembantu tokong Cina berdekatan dengan rumah dan gaji yang diterima sekadar cukup untuk membeli barangan makanan sahaja.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Baginda Tuanku Sultan kerana sudi menghulurkan bantuan untuk membina rumah kepada kami,” katanya kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini (16 September).

Yang Berhormat Mejar Cina Dato’ David Wong pada hari ini turut meluangkan masa meninjau perkembangan kerja-kerja pembinaan rumah berkenaan.

Dato’ David turut menyampaikan sumbangan 144 kotak makanan kurniaan Baginda Tuanku Sultan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) kepada Ketua Kampung, Othman Adon.

Beliau turut menyampaikan kurniaan sumbangan peribadi DYMM Sultan Johor untuk perbelanjaan sarapan serta makanan tengah hari kepada penduduk kampung yang bakal menerima suntikan vaksin.

“Baginda sentiasa menggalakkan rakyat untuk mendapatkan vaksin untuk melindungi diri, keluarga dan juga komuniti,” katanya.

#sultanjohor
#royalpressoffice
#johor


Tags:

About author
not provided